Sejarah

MARA menerusi Bahagian Kemahiran Teknikal telah menubuhkan IKM bagi membantu bumiputera dalam bidang kemahiran negara. Bagi memantapkan tahap penguasaan di kalangan pelajar beberapa IKM telah dinaiktaraf menjadi Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) yang menawarkan program-program peringkat diploma, dan salah sebuah daripadanya ialah KKTM Balik Pulau.

KKTM Balik Pulau merupakan institusi latihan MARA yang ke-14 beroperasi di bawah kendalian Bahagian Kemahiran Teknikal.

Majlis Pecah Tanah dan Perletakan Batu Asas KKTM ini telah disempurnakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, iaitu YAB Dato' Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi sendiri pada 15 Julai 2000.

Dengan keluasan tapak seluas 38.07 ekar di tanah bukit ini, KKTM ini dijangka mampu menampung seramai 1320 orang pelatih dalam satu masa.

KKTM Balik Pulau memulakan operasinya pada bulan Oktober 2004 di kampus sementara yang terletak di Teluk Ayer Tawar, Pulau Pinang sementara menunggu bangunan sedia ada siap dibina. KKTM Balik Pulau memulakan pengambilan pelajar baru bagi sesi Januari 2005 dengan pendaftaran pelajar kumpulan pertama seramai 118 orang. Kumpulan ini boleh dianggap sebagai perintis kejayaan program diploma di KKTM baru.